Sungguh terlalu banyak perkara yang aku rindu,
Zaman kecilku, bermain bersama abangku di hujung minggu, menunggang basikal ke taman permainan bersama, menonton kartun di pagi hari bersama, membaca komik bersama, bergaduh menentu giliran untuk bermain komputer, bergaduh siapa paling jaguh dalam apa jua hal, tiada tanggungjawap dipegang
Sungguh aku rindu
Zaman sekolahku, makan bersama sahabatku di dewan makan, bermain bola sepak di padang setiap petang, melangkah ke kelas bersama, bergurau senda dengan guruku, melencong keluar asrama tanpa pengetahuan warden, melaungkan azan, mengimami solat, sahur dan berbuka puasa bersama, berzikir beramai-ramai, membaca surah Yasin setiap Jumaat diakhir kelas
Sungguh aku rindu
Zaman universitiku, menonton bola di kedai mamak, bersorak dan bersedih bersama, bermain futsal menghilangkan letih otak menelaah pelajaran, menonton Family Outing dan Running Man bersama housemate sambil ketawa terbahak-bahak, bernasyid kerana minat yang sama, study group di library bersama pabila study week menjelma, bersengkang mata menyiapkan assignment yang tertunggak
Sungguh aku rindu
Zaman aku aktif bernasyid, berlatih setiap malam, bersengkang mata menghafal lirik, meninggalkan kelas demi untuk berlatih bila pertandingan semakin hampir, teruja dapat berjalan ke tempat orang, manisnya kemenangan dan pahitnya kekalahan, tenangnya hati bila menyampaikan bait-bait dakwah
Sungguh aku rindu
Diriku yang dulu, pemalu, penyabar, riang bersama sahabat, senyum selalu, tiada resah dijiwa kerna hal dunia
Sungguh aku rindu
Namun aku tetap bersyukur
Syukur kerana diberi rasa rindu ini.
Rasa rindu yang akan sentiasa mengingatkan aku bila aku terlupa
Siapa diriku.
Siapa Tuhanku.
Kerana Dialah yang mencipta perasaan rindu ini
Perasaan yang sangat indah
Agar aku hargai apa yang aku ada sekarang
Kerana suatu hari nanti aku akan merinduinya jua
Terima kasih Ya Allah